Wednesday, May 19, 2010



4/1/10

Melayu N.Sembilan rayu jangan roboh gerai

Gambar hiasan

Peniaga rayu tangguh roboh gerai
Sinar Harian 1 April 2010

PORT DICKSON – Langkah Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) mengambil tindakan ‘membersihkan’ peniaga gerai beroperasi di laluan pejalan kaki di hadapan bangunan Mara menimbulkan pelbagai reaksi peniaga di Pantai Saujana Batu 4.

Peniaga mendakwa, mereka mula berniaga di laluan itu sejak tiga tahun lalu dan menyumbang banyak manfaat dalam sektor pelancongan di kawasan itu.

Langkah MPPD mengambil tindakan penguatkuasaan menimbulkan rasa kecewa dalam kalangan peniaga.

Peniaga, Marziana Abd Malik, 48, berkata, peniaga di sini sepakat akan mematuhi semua undang-undang dikenakan MPPD seperti mana dikatakan peraturan lesen bermusim walaupun pada dasarnya lesen mereka adalah berkelompok yang diuruskan persatuan Peniaga D’Mara Batu 4.

“Kami mula berniaga pada Khamis sehingga Ahad dan selesai sahaja berniaga pada hari Ahad kami akan mengosongkan laluan ini dan tidak akan meninggalkan sebarang kanopi, meja mahupun peralatan perniagaan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Marziana berkata, jika itu yang menjadi persoalan MPPD kerana peniaga meninggalkan bahan perniagaan di laluan tapak pejalan kaki dan menyebabkan pemandangan tidak cantik serta sebagainya, mereka rela mengosongkan laluan itu apabila selesai perniagaan pada Ahad malam.

“Kami juga memohon jasa baik MPPD memberikan masa untuk berpindah sementara menunggu tapak ekspo Mara yang kini dipajakkan kepada syarikat swasta berakhir.

“Selain itu, untuk makluman MPPD mengenai tahap kebersihan di sini, kami peniaga telah melantik dan mengupah individu untuk melakukan kerja membersihkan kawasan tapak perniagaan ini: pada setiap malam selepas selesai kami menjalankan perniagaan,” katanya.

Sementara itu, Marziana turut menjelaskan sampah berselerakan dan mengotori kawasan adalah sampah dibawa pengunjung.

“Terutama pada malam minggu, keadaan sampah memang tidak dapat dikawal,” katanya.

Marziana berkata, memandangkan majoriti peniaga di situ adalah ibu tunggal, dia amat berharap MPPD dapat memberikan kelonggaran dan sedikit masa untuk menjalankan perniagaan di sini sehingga mendapat tempat berpindah.

Seorang lagi peniaga, Zarul Naim Ibrahim, 34, berkata, deretan 41 gerai di laluan pejalan kaki di depan Arked Mara Batu 4 merupakan antara destinasi wajib pengunjung yang datang di daerah ini.

“Malah pakej hotel meletakkan gerai di Batu 4 merupakan antara aktiviti pengunjung mereka :dan secara tidak langsung perniagaan kami merupakan produk pelancongan yang ada di pantai peranginan ini.

“Ini menunjukkan bahawa kewujudan gerai ini banyak membantu kepada tarikan pelancong ke daerah ini selain kami juga menjual pelbagai produk bermutu malah ada g diimport dari luar negara,” katanya.

Zarul Naim berkata, peniaga di sini menjadikan perniagaan itu sebagai punca pendapatan utama dan golongan belia sepertinya memang menjadikan perniagaan sebagai karier utama.

“Malah ada dalam kalangan peniaga di sini merupakan graduan dari politeknik dan mengambil inisiatif berniaga.

“Jika tindakan penguatkuasaan akan diambil MPPD, akan hilanglah punca pendapatan kami di sini,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story7383787.asp




No comments:

Post a Comment