Peniaga Melayu N.Sembilan akan berkubur
( Siapa ya wakil rakyat di Bagan Pinang , Melayu ke , Cina ke , India ke ? )
PD Night Market berkubur?
Berita Harian 2 April 2010
Peniaga dilema kerana rezeki bergantung kepada perniagaan di bazar
PD Night Market berkubur?
Berita Harian 2 April 2010
Peniaga dilema kerana rezeki bergantung kepada perniagaan di bazar
PORT DICKSON: Bazar malam di Batu 4 Jalan Pantai di sini yang lebih dikenali sebagai ‘PD Night Market’ bakal berkubur apabila 41 peniaga yang beroperasi di situ sejak tiga tahun lalu diarahkan berpindah oleh Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD). Ini menimbulkan dilema kepada peniaga yang kebanyakan adalah ibu tunggal dan belia yang pendapatan mereka bergantung sepenuhnya kepada perniagaan di situ. MPPD mengarahkan peniaga mengosongkan gerai mulai kelmarin hingga Ahad ini dan mana-mana peniaga yang ingkar, tindakan penguatkuasaan akan dijalankan.
Situasi itu meresahkan peniaga yang akan kehilangan punca pendapatan dengan kebanyakan mereka berniaga sepenuh masa di situ.
Muriyatul Akma Ahmad, 24, berkata dia menyahut seruan kerajaan untuk menceburi bidang perniagaan selepas menamatkan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dengan berniaga secara kecil-kecilan di situ sejak tahun lalu.
"Ketika itu peluang pekerjaan tidak banyak dan saya fikir lebih baik menceburi bidang perniagaan walaupun secara kecil-kecilan. Sekurang-kurangnya saya tidak menganggur.
"Saya serta peniaga lain terkejut kerana menerima notis supaya mengosongkan gerai. Kami panik kerana tiba-tiba masa depan kelihatan gelap dan bakal kehilangan punca pendapatan," katanya.
Bazar ini beroperasi setiap Selasa hingga Ahad sejak 1 Mei 2007 adalah antara tarikan utama pelancong dan penduduk tempatan untuk membeli belah. Dianggap sebagai penyeri utama waktu malam di sini, ada hotel memasukkan bazar ini sebagai antara destinasi wajib dikunjungi pelancong.
Sementara itu Narizan Ahmad, 53, yang berniaga di situ sejak bazar mula dibuka memberitahu, hidupnya bergantung sepenuhnya kepada perniagaan menjual barangan aksesori, pakaian pantai, cendera hati dan kraftangan.
“Selepas notis dilekatkan di dinding khemah, harapan kami untuk terus berniaga di sini musnah. Kami runsing dengan barangan yang belum dijual serta kerja memindahkan barang kerana ada di kalangan kami tidak mempunyai kenderaan," katanya.
Raja Azlan Raja Mahmud, 25, merayu MPPD supaya memberikan mereka tempoh setahun lagi untuk berniaga di situ sementara mencari lokasi lain yang sesuai.
"Kami dicadangkan berpindah ke tapak ekspo bersebelahan kawasan sekarang, tetapi kami tidak mampu kerana kadar sewa agak tinggi, iaitu antara RM1,000 hingga RM1,500 sebulan. Kadar sewa sekarang ialah RM250 sebulan.
"Kadar sewa di tempat baru itu membebankan kerana pendapatan kami tidak menentu. Kami khuatir perbelanjaan melebihi pendapatan kerana modal pusingan tinggi untuk mengambil stok barangan yang berubah mengikut kehendak pasaran," katanya sambil menjelaskan peniaga akan mengikut syarat yang ditetapkan MPPD iaitu hanya berniaga pada hujung minggu dan cuti persekolahan jika dibenarkan terus berniaga di situ.
Norhayati Udin, 44, berkata peniaga tidak pernah meminta apa-apa bantuan daripada kerajaan tetapi hanya mahu terus diberi peluang berniaga di situ serta gerai tidak dirobohkan, dan berharap MPPD memaklumkan kepada peniaga sekiranya mempunyai perancangan yang lebih baik bagi mengelakkan salah faham berterusan.
No comments:
Post a Comment